Yahaya Othman. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Dua sindiket pengedaran dadah di
Lembah Klang lumpuh dengan tertangkapnya seorang pelajar kolej swasta dan seorang warga Indonesia dalam dua operasi berasingan.

Dalam operasi itu polis merampas ganja seberat 56 kilogram (kg) berjumlah RM166,000, kek ganja seberat 6 kg bernilai RM21,000 dan syabu seberat 1 kg berjumlah RM26,000 yang mana jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM 213,000.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik lbu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) itu mampu menampung penggunaan 126,000 orang pengguna

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Polis Datuk Yahaya Othman berkata, dalam serbuan pertama pada 25 Mac lalu di Jalan 9, di sini, pihaknya menahan seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun dan merampas 6 kg kek ganja daripada suspek.

Suspek yang tidak memiliki rekod kesalahan lampau itu didapati aktif menjalankan pengedaran kek ganja sejak tiga bulan yang lepas, ujarnya.

“Punca bekalan masih dalam siasatan. Hasil ujian saringan awal polis dapati suspek bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Yahaya memberitahu, seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun telah ditangkap dan 56 kg ganja dan sekilogram syabu dirampas dalam serbuan kedua yang dilakukan di Subang Jaya, Selangor pada 27 Mac lalu.

Jelasnya, ganja tersebut dijumpai di dalam bekas yang ditanam dengan kedalaman 1 meter di dalam kawasan tanah terbiar.

Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai buruh kebun tidak memiliki rekod lampau dan berperanan untuk menjaga bekalan dadah yang ditanam itu.

Katanya, hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Yahaya berkata, semua saspek direman selama tujuh hari daripada tarikh tangkapan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Sindiket-sindiket ini mula dikesan beroperasi sejak tiga bulan yang lepas,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat. – MalaysiaGazette