KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua masjid dan surau sentiasa mengemaskini jam digital azan masing-masing agar selari dengan ketetapan tarikh hijri yang dikeluarkan jabatan itu atau pihak berkuasa agama yang disahkan Panel Pakar Falak.
Ini bagi mengelak timbul spekulasi dalam kalangan orang ramai terutama mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menurut kenyataan JAKIM, pihaknya telah mengambil maklum mengenai penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.
“Paparan itu telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Untuk makluman, cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini adalah pada petang hari Khamis 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444H.
“Kita mohon semua pihak menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” kata kenyataan itu hari ini.
JAKIM memaklumkan, pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Pengisytiharan itu dibuat melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. – MalaysiaGazette