semakan kehakiman Najib kes SRC
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Lima panel hakim yang bersidang membabitkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.

Daripada lima panel hakim, empat hakim tersebut menolak permohonan semakan manakala Abdul Rahman menyokong semakan dilakukan.

Ketika membacakan penghakiman, Vernon Ong berkata, pihaknya tiada merit dalam permohonan yang dikemukakan oleh bekas Presiden UMNO itu.

Najib sebelum ini memfailkan notis usul itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, dengan membuat beberapa permohonan iaitu pertama, memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dia dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Kedua, Najib memohon untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu yang tidak memberikan penangguhan prosiding susulan penarikan diri peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Beliau memohon rayuannya didengar korum Mahkamah Persekutuan lain, tidak kurang tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib turut memohon untuk mengemukakan bukti tambahan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pembatalan perbicaraan itu atau diisytiharkan tidak sah.

Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Difahamkan andainya mahkamah menolak semakan ini, pilihan terakhir yang ada pada bekas Ahli Parlimen Pekan itu ialah kekal di Penjara Kajang dan mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2 September tahun lalu, Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan.

Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International pada Julai 2020.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Namun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette