Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh melancarkan Majlis Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 113 kes premis perniagaan termasuk bazar Ramadan di seluruh negara sudah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa 24 jam menerusi Op Pantau 2023.

Timbalan menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, dalam tempoh itu, KPDN turut menerima sebanyak 316 aduan daripada pengguna membabitkan pelbagai isu terutama isu harga barang.

“Terkini data yang kita terima untuk pemantauan adalah sebanyak 19,985 premis seluruh negara. Kita juga terima 316 aduan, semalam saya laporkan 283 dan dalam masa 24 jam ia bertambah.

“Untuk kompaun pula, semalam RM11, 400 dan hari ini jumlah kompaun meningkat lebih kurang RM6,000 menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM17,000.

“Daripada 19,985 premis yang dipantau, negeri paling tinggi dikenakan kompaun adalah Negeri Sembilan iaitu 37 kes, diikuti johor (21 kes), Pulaun Pinang (17 kes),” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda hari ini.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh dalam sidang media selepas pelancaran Majlis Jualan Rahmah dan Majlis Iftar bersempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda, hari ini.

Sementara itu, menurut Fuziah, Jualan Rahmah untuk Wilayah Persekutuan ini akan berlansung bermula 25 Mac sehingga seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu 28 April.

Ia melibatkan 15 rakan strategik yang akan dianjurkan di 11 kawasan Parlimen yang turut menawarkan set makanan dan minuman Menu Rahmah bernilai RM5 ke bawah.

“Diskaun yang ditawarkan di Jualan Rahmah ini adalah daripada 10 peratus hingga 30 peratus melibatkan barang-barang keperluan seperti beras dan sebagainya.

“Barangan itu terpulang kepada supermarket itu sendiri dan jualan ini akan berterusan sehingga hari raya ketujuh,” jelasnya.

Lima keping kupon Menu Rahmah diberikan kepada lebih 2,000 isi rumah di PPR Batu Muda yang bernilai RM25.

Dalam program yang sama, KPDN turut memberikan lima keping kupon atau baucer Menu Rahmah kepada lebih 2,000 isi rumah di PPR Batu Muda yang bernilai RM25.

Selain itu, pihaknya turut memberikan sebanyak 1,130 sumbangan bakul Rahmah dalam membantu golongan B40 bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dialami golongan tersebut. – MalaysaiaGazette