BEIJING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of the People di sini.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya memulakan mesyuarat, yang berlangsung selama kira-kira 45 minit.

Ia merupakan mesyuarat secara bersemuka buat julung kalinya diadakan antara kedua-dua pemimpin itu.

Dalam ucapan ringkasnya, Xi yang mengalu-alukan kehadiran Anwar berkata, beliau menghargai lawatan itu, apabila Perdana Menteri menerima undangan ke China walaupun di tengah bulan Ramadan yang mulia.

Beliau juga mengambil maklum ulang tahun ke-10 pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara tahun ini, serta 50 tahun hubungan diplomatik pada 2024, dan menambah bahawa beliau berharap di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia dan China akan dapat bekerjasama lebih erat untuk membawa hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.- BERNAMA