Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Polis sudah mengenal pasti identiti individu yang menghantar bungkusan mengandungi satu tiub ubat gigi bercorak daun ganja kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati individu sama yang menghantar kedua-dua bungkusan bahan terlarang itu kepada pemimpin negara itu.

“Kita sudah dapat butiran pengirim tersebut dan kita masih sedang mengesan untuk menangkap pengirim parcel itu.

“Ya, (pengirim) warga tempatan,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bungkusan berisi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik, dirampas menerusi serbuan di sebuah hab kurier di Pulau Meranti, Puchong.

Serbuan dibuat hasil maklumat seorang penjawat awam yang memaklumkan menerima panggilan telefon berkaitan kiriman bungkusan dialamatkan ke atas dua ahli politik yang perlu dituntut di hab berkenaan.

Polis kemudiannya merampas satu tiub ubat gigi berpenutup hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’ seberat 80 gram dalam bungkusan kotak berwarna coklat.

Dalam pada itu, pihak polis sedang mengesan keberadaan individu tersebut sebelum ditahan untuk proses siasatan selanjutnya.

“Kita masih mengesan pengirim parcel itu, sebab dia dua kes, satu di Putrajaya Kuala Lumpur, dan satu lagi di Selangor, di mana kedua-dua pengirim adalah orang yang sama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga mengesahkan bahawa dalam bungkusan tersebut, tidak ditemui sebarang ganja, sebaliknya ian hanya ubat gigi biasa sahaja.

“Selepas kita hantar ke makmal kimia, hasil analisa mendapati dia tidak mengandungi sebarang jenis dadah, maknanya dia adalah paste ubat gigi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette