Datuk Seri Sulaiman Md Ali

MELAKA – Hari terakhir memegang jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12 hari ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memohon rakyat di negeri itu terus memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Melaka atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan terhadapnya sepanjang menjadi Ketua Menteri sejak 9 Mac 2020.

“Hari ini, sempena sayyidul ayyam, adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

“Saya menyeru dan merayu kepada rakyat Melaka sekalian, agar dapat terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama yang terbaik kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.

“Berilah semangat sama seperti yang telah diberikan kepada saya sebelum ini demi negeri Melaka yang tercinta,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya pagi ini.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK), Datuk Zaidi Johari dalam satu kenyataan memaklumkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 akan diadakan di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka pukul 3 petang ini.

Ia susulan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menerima surat peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

Media semalam melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO telah mencadangkan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut memohon maaf kepada rakyat di negeri ini atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjangnya memegang amanah tersebut sempena Ramadan kali ini.

“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.