KUALA LUMPUR – Sektor swasta terutamanya industri yang mengaut keuntungan yang besar di Malaysia harus mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan tambahan gaji sebulan sebagai bantuan perayaan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam negeri.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, walaupun Kerajaan Negeri Selangor mengalami defisit sejak tiga tahun lalu namun masih mengiktiraf perkara yang perlu diutamakan.

Justeru, katanya, bank-bank di Malaysia yang mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit sepatutnya tiada masalah untuk menghulurkan bantuan sedemikian bagi membolehkan umat Islam menikmati sambutan Aidilfitri dengan tenang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, bank-bank sepatutnya berusaha untuk melakukan yang lebih baik berbanding perkhidmatan awam.

“Di Indonesia, yang mana majoriti penduduknya turut menyambut Aidilfitri, majikan di negara itu diwajibkan oleh undang-undang supaya semua pekerja dibayar tambahan
sebulan gaji sempena perayaan itu.

“Bank-bank di Indonesia yang juga mencatatkan keuntungan cemerlang seperti yang disaksikan di Malaysia, membayar dua bulan kepada pekerja mereka.

“Semua bank di Indonesia menyedari inilah masanya pekerja mereka, khususnya mereka yang berada di peringkat bawah dalam hierarki gaji amat memerlukan pendapatan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan dengan itu, para ketua pegawai eksekutif bank perlu bertanggungjawab secara sosial dan melakukan perkara yang betul kerana mereka akan membuat lebih banyak keuntungan dari tahun ke tahun. – MalaysiaGazette