Prof Dr. Roziah Mohd Janor.- Pix FB

KUALA LUMPUR – Majlis Eksekutif Pusat Mahasiswa Demokratik Malaysia (Mahasiswa Demokratik) kesal dengan kenyataan balas yang dikeluarkan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor.

Menurut kenyataan Majlis Eksekutif Pusat Mahasiswa Demokratik, pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan bahawa mendakwa penganjur program “Jelajah Mansuh AUKU” tidak membuat permohonan kepada pihak pengurusan UiTM.

“Kami telah berurusan dengan pihak Hal Ehwal Pelajar UiTM untuk menganjurkan program ini. Kami telah berurusan Timbalan Pendaftar HEP dan beliau memklumkan agar kami menghantar surat kepada pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan pihak HEP ketika itu memaklumkan bahawa mereka tiada masalah untuk membenarkan program ini dianjurkan.

“Kami telah menghantar satu surat permohonan untuk menganjurkan program Jelajah Mansuh AUKU kepada pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar bertarikh 24 Mac,” kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahasiswa Demokratik mengulas kenyataan Roziah bahawa penganjur dialog “Pelajar Praktikal Bukan Buruh Paksa” tidak melalui proses yang berhemah, permohonan tidak dibuat melalui pejabat naib canselor.

Malah Roziah turut berkata UiTM tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemimpin memasuki kampusnya, selagi memberi manfaat kepada mahasiswa.

Mengulas lanjut, Mahasiswa Demokratik berkata dakwaan Roziah itu bertentangan dengan apa yang terjadi kerana pihak kami telah menghantar surat kepada pengurusan UiTM.

“Dakwaan ini juga sangatlah berat sebelah kerana pihak pejabat Naib Canselor bukan sahaja telah menafikan hak mahasiswa untuk berdialog secara aman, malahan telah menimbulkan fitnah kepada kami.

“Dakwaan berat sebelah ini juga telah memburukkan nama Mahasiswa Demokratik Malaysia dan sebagai sebuah organisasi berteraskan mahasiswa, tujuan penubuhan kami adalah demi mengangkat suara mahasiswa ke peringkat nasional,” kata mereka lagi.

Mengulas lanjut, UiTM kata Mahasiswa Demokratik seharusnya memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyertai dan menganjurkan program-program advokasi yang memberikan penekanan terhadap hal-hal politik, ekonomi dan sosial yang terjadi di Malaysia selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang.

Universiti katanya seharusnya menjadi medan perdebatan intelek yang membantu membentuk mahasiswa menjadi lebih cakna terhadap hal-hal semasa.

“Universiti bukan sekadar terbatas di dalam ruang lingkup bilik kuliah, akan tetapi, universiti mestilah melahirkan mahasiswa yang insani,” jelas Mahasiswa Demokratik lagi.

Sesi dialog “Pelajar Praktikal Bukan Buruh Paksa” anjuran Ikatan Mahasiswa Demokratik dijadualkan berlangsung di Dataran Cendekiawan UiTM Shah Alam malam kelmarin.

UiTM turut dilaporkan telah memberi amaran kepada pelajarnya tidak menyertai sesi dialog itu kerana tidak mendapat kelulusan universiti.

Semalam, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan alasan UiTM tidak meluluskan sesi dialog dengan pelajar pada Khamis demi mengekalkan “keharmonian” tidak masuk akal.- MalaysiaGazette

Syed Saddiq sengaja timbul persepsi buruk terhadap UiTM – Pensyarah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast