BAYAN LEPAS – Meskipun akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan, ia tidak menghalang parti untuk menyantuni petugas barisan hadapan pada Ramadan ini.
Exco Srikandi Bersatu, Nor Azah Abdul Aziz berkata, program yang dilakukan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 itu dijadikan sebagai acara tahunan pihaknya bagi berkongsi rezeki serta menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara.
“Sebanyak 150 pek makanan sahur serta minuman diserahkan kepada dua balai polis dan sebuah balai bomba di Bayan Lepas serta Bayan Baru.
“Saya mengambil pendekatan dengan memberikan sumbangan makanan kepada pasukan barisan hadapan kerana tidak mahu mereka dilupakan selepas pandemik.
“Bukan saja itu, dengan cara ini juga kita dapat menyemarakkan lagi kemuliaan bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai mengedarkan pek makanan itu awal pagi tadi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada beliau antara calon yang akan dikemukan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti Nor Azah menegaskan dia kini lebih memfokuskan kebajikan rakyat.
“Soal dicalonkan atau tidak pada PRN kita serah kepada pucuk pimpinan yang penting kebajikan rakyat sentiasa dijaga itu cara kerja saya,” katanya yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bukit Gelugor. – MalaysiaGazette