Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti ada kesungguhan politik untuk memperbetulkan sistem keadilan negara.

Beliau berkata, momokan ‘tiada campur tangan politik’ jangan pula dieksploitasi oleh pihak lain untuk bersikap bisu dan pekak kepada perbicaraan adil.

“Kita tidak mahu mahkamah terlalu kebal tanpa batas akibat momokan itu. Mesti ada pengimbang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Lima panel hakim yang bersidang membabitkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.

Daripada lima panel hakim, empat hakim tersebut menolak permohonan semakan manakala Abdul Rahman menyokong.

Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata: “Keadilan bukan sahaja mengenai rasa bersalah atau tidak bersalah seseorang yang dituduh, beliau juga mesti mempunyai perbicaraan yang adil. Beliau juga mesti merasakan beliau mempunyai perbicaraan yang adil. Jika sistem itu tidak mampu, beliau tidak patut dibicarakan sama sekali.”

Mohd. Puad turut menyifatkan hujah Abdul Rahman dalam penghakimannya itu amat mengejutkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberitahu rakyat sama ada laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang tular baru-baru ini adalah tulen atau palsu.

“Kalau tulen apa kerajaan mesti buat? Ini bukan campur tangan politik,” jelasnya.

Mohd. Puad berharap kerajaan tidak bersikap membisu seperti yang dilakukan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Jangan dikompromi kerana naratif ‘tidak ada campur tangan politik dalam mahkamah’. Mesti ada pengimbang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast