hakim protokol
Razlan Mohd. Rafi berucap pada program Gerak Rahmah 2023 di Madrasah Al-Khairiah, Taman Salak Jaya, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa seharusnya diberi kebebasan untuk menyiasat dakwaan terhadap mana-mana hakim tanpa terikat dengan sebarang protokol.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Mohd. Rafii berpandangan, protokol yang ditetapkan itu boleh menyebabkan pihak berkuasa tidak berani untuk menyiasat hakim.

“Walhal dalam Perlembagaan Persekutuan, tata cara kita, apa sahaja pun pihak berkuasa yang menyiasat tidak perlu mengikut protokol.

“Ini yang dibangkitkan oleh masyarakat dunia bukan di Malaysia sahaja, jadi saya lihat perkara ini tidak patut berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Program Gerak Rahmah 2023 di Madrasah Al-Ikhlasiah, Taman Salak Jaya di sini, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman dan tidak mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd. Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga soal keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata, waktu siasatan terhadap Mohd. Nazlan yang yang menimbulkan persoalan, dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide ​​(dengan niat baik). – MalaysiaGazette