perwakilan kesepaduan
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang masih ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu, akan diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Setiausaha Badan Perhubungan Datuk Abdul Halim Suleiman akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan bahagian itu.

Sebelum ini, proses pemilihan UMNO dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

“Setiausaha akan lihat dan bincang kesesuaian masa dan memastikan perjalanan mesyuarat semula itu  dapat dilakukan dengan baik.

“Kita seboleh-bolehnya mahu dilakukan segera tetapi kita ambil kira sekarang ni bulan Ramadan dan bahagian ini tak macam bahagian lain, hanya libatkan ketua tapi nampaknya libatkan semua sekali (ahli jawatankuasa), jadi perlu bincang.

“Kita tidak mahu nanti yang datang segelintir, jadi kalau kita buat, kita hendak semua boleh datang, (tak mahulah) kalau pemilihan itu (sudah berlaku) berlaku, rumah dah siap, pahat masih berbunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Johor Penggal 2023/2026 di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Turut hadir, barisan kepimpinan badan perhubungan UMNO Johor yang baharu.

Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan tersebut dibuat Pengerusi Tetap Umno Bahagian Johor Bahru Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru merupakan antara UMNO Bahagian yang menjadi perhatian apabila penyandangnya Tan Sri Shahrir Abd Samad mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Naib Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.- MalaysiaGazette