Penunggang motosikal tersepit
Seorang penunggang motosikal maut kerana tersepit di bawah sebuah kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Utama Bandar Country Home, Rawang, hari ini. Foto Ihsan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor

RAWANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah sebuah kenderaan kerana terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Utama Bandar Country Home, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira 10 minit, bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lelaki berumur 30-an.

“Mangsa yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, semasa kejadian, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Katanya, bagaiamanapun pemandu kereta terbabit dalam kemalangan sama tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette