KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng memuji pentadbiran kerajaan Pulau Pinang kerana negeri itu tidak pernah mengalami gangguan catuan air.

Beliau berkata, hanya negeri itu tidak pernah mengalami perkara tersebut, tidak seperti kebanyakan negeri di Malaysia.

“Kita tak ada catuan air sebab kita jaga alam sekitar, kawasan tadahan air dan empangan dengan baik, sebab itu air sentiasa cukup.

“Jangan risau, Pulau Pinang pasti ada air sehingga akhir dekad ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Jelasnya, jika rakyat di negeri itu mahu pastikan Pulau Pinang terus maju, semua perlu menjaga alam sekitar.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa akan berusaha untuk memastikan negeri ini terus hijau, bersih, sihat dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons selepas menyertai sambutan Earth Hour 2023 di Bukit Bendera anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Air Putih.

Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abd Rashid; Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Joseph Ng dan Pengerusi JPWK Air Putih, Vanessa Cheng Gaik Choo.

“Aktiviti sebegini dalam persekitaraan nyaman dan hijau mengingatkan kita semua tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” tulisnya lagi.

Untuk rekod mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk di Pulau Pinang hampir mencecah dua juta orang. – Malaysia Gazette