DUBAI – Arab Saudi dan pengeluar minyak utama lain mengumumkan pemotongan mengejut sehingga 1.15 juta tong sehari dari bulan Mei hingga akhir tahun ini.
Keputusan itu bakal melonjakkan semula harga bahan bakar.
Arab Saudi mengumumkan pengurangan terbesar dalam kalangan anggota OPEC iaitu 500,000 tong sehari.
Pemotongan itu adalah tambahan kepada pengurangan yang diumumkan Oktober lalu yang menimbulkan kemarahan pentadbiran Presiden Joe Biden.
Kementerian Tenaga Saudi menyifatkan keputusan itu sebagai “langkah berjaga-jaga” yang bertujuan untuk menstabilkan pasaran minyak.
Pemotongan itu menyaksikan pengurangan daripada 5% daripada purata pengeluaran Arab Saudi sebanyak 11.5 juta tong sehari pada 2022.
Iraq berkata, ia akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 211,000 tong sehari, Emiriah Arab Bersatu sebanyak 144,000, Kuwait sebanyak 128,000, Kazakhstan sebanyak 78,000, Algeria sebanyak 48,000 dan Oman sebanyak 40,000.
Pengumuman itu telah dibuat oleh setiap media rasmi setiap negara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak berkata, Moscow akan melanjutkan pemotongan 500,000 secara sukarela sehingga akhir tahun, menurut kenyataan oleh agensi berita negara Tass.
Rusia telah mengumumkan pengurangan unilateral pada Februari selepas negara-negara Barat mengenakan had harga.
Kesemuanya adalah ahli kumpulan negara pengeksport minyak yang dipanggil OPEC+, termasuk Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum yang asal serta Rusia dan pengeluar utama lain.
Tiada kenyataan segera daripada OPEC sendiri.
Pemotongan yang diumumkan pada bulan Oktober, kira-kira 2 juta tong sehari telah berlaku pada malam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat (AS) yang mana kenaikan harga menjadi isu utama.
Serentak itu Biden berikrar akan ada “akibat” dan penggubal undang-undang Demokrat menyeru untuk membekukan kerjasama dengan Arab Saudi.
Kedua-dua AS dan Arab Saudi menafikan sebarang motif politik dalam pertikaian itu.
Sejak pemotongan itu, harga minyak telah menurun.
Minyak mentah Brent, penanda aras global, didagangkan sekitar $80 setong pada akhir minggu lalu, turun daripada sekitar AS$95 pada awal Oktober, apabila pemotongan awal dipersetujui.- Agensi