Keadaan sekitar HTAR yang tenang hari ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan doktor kontrak yang merancang mengadakan mogok selama tiga hari bermula hari ini ternyata tidak menjadi realiti.

Tinjauan mendapati mereka  tidak muncul dan berhimpun di mana-mana lokasi pusat perubatan kerajaan, hari ini.

Kumpulan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia itu didapati tidak menjadikan hospital dan klinik kesihatan kerajaan sebagai lokasi perhimpunan bagi menuntut enam permintaan mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam sejak pukul 11.30 pagi tadi mendapati tiada mana-mana doktor kontrak  berhimpun.

Malah kedua-dua hospital utama di daerah Klang dan Petaling itu masih terkawal dan orang ramai pula kelihatan berurusan untuk mendapatkan rawatan seperti biasa.

Keadaan itu jauh berbeza seperti dua tahun lalu apabila doktor kontrak menyertai hartal itu di HTAR pada 26 Julai 2021.

Bagaimanapun doktor kontrak yang terlibat itu diarah untuk memberi surat tunjuk sebab kepada Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi atas tindakan mereka.

Susulan penganjuran mogok doktor kontrak itu, kumpulan ini membuat enam tuntutan kepada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mogok Doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram memberitahu, antara tuntutan yang akan dibuat adalah menyerapkan semua pegawai perubatan kontrak ke dalam jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temuduga.

Menurutnya, gaji pokok serta kadar on call pakar dengan pegawai perubatan juga perlu dinaikkan iaitu RM40 dan RM100 untuk satu jam. – MalaysiaGazette