Logo KWSP

KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 40 hingga 50 tahun yang mempunyai tabungan minimum RM3,000 dalam Akuan 2 layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.

Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank adalah institusi perbankan yang menyediakan kemudahan itu.

KWSP dalam kenyataanya berkata, pinjaman itu merupakan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) lanjutan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Fasiliti Sokongan Akaun 2 bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Simpanan Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat yang mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam akta.

KWSP berkata, FSA2 ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, yang mana untuk fasa satu yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang
mengambil bahagian.

Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank-bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4% hingga 5%,
lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8% hingga 15%.

Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.

Fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun dan jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

“Simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan KWSP, seterusnya membolehkan ahli mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka,” tambahnya.

Jelasnya, ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya ahli telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP.

KWSP berkata, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim
berserta jawapan berkenaan fasiliti ini bermula 5 April ini.

Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. rakyat terkulat-kulat… menjadi binggung: pinjam bank
    Welanon Welanon tolong bagi alasan dan formula
    eg;
    1) nilai cagaran hartanah RM 500K
    Perlu tunai RM 200K
    2) nilai sijil premium BSN RM 20K
    Perlu tunai RM 10K
    3) simpanan account tunai RM 35K
    Perlu tunai RM 5K
    4) simpanan KWSP RM 400K
    Perlu tunai RM 100K
    kononlah alasan terbaik saranan kerajaan Welanon…
    tujuan pinjam bank berserta bunga-bunga tu berniat baik bagi mengekalkan nilai simpanan atau harta tersebut supaya kekal dan bertambah nilai bila dah tua bangka kelak..
    jika rakyat terdesak dan TIADA DAYA buat Bayaran pinjaman bank berbunga-bunga.. badot pun boleh golekgelantang tergelak-gelak..
    akhirnya yang kekal nama bangkrap dan ini akan benar-benar terjadi (pinjam kata formula Welanon) bila pencen dan TUA bangka DUIT SIMPANAN tiada dan menjadi geladangan bawah jambatan.
    rakyat amat faham tapi Welanon Welanon tidak perduli pun.. kesian rakyat tapi itu nasib kamu lah…

    • Betul tu. Ajenya hawo…..duit simpanan KWSP kita tapi nak pakai kena minjam bank. Ape ke bodoh punya kerja.

Comments are closed.