Hospital Pulau Pinang. - Gambar file

GEORGE TOWN – Tiada sebarang mogok membabitkan doktor kontrak di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar hospital terbabit seawal jam 8 pagi sehingga kini mendapati operasi hospital berjalan seperti biasa dalam suasana tenang.

Suasana di HPP tenang tanpa kelibat doktor kontrak melakukan mogok.

Selain itu, pekarangan luar lobi hospital yang pernah menjadi lokasi himpunan doktor kontrak dua tahun lalu dlihat sesak dengan kehadiran para pesakit.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan keseluruhan operasi di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini berjalan seperti biasa.

Dr. Norlela Ariffin

“Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Fazilah Shaik Alaudin memaklumkan tiada sebarang pergerakan luar biasa atau mogok dikesan setakat ini.

“Malah, mereka turut memantau rapi perkembangan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut mengesahkan tiada tindakan mogok dalam kalangan doktor kontrak di seluruh hospital dan klinik kesihatan negeri itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya tidak menerima laporan doktor kontrak yang mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan serentak setakat ini.

“Alhamdulillah, setakat ini tidak tiada tindakan luar biasa dan semua operasi hospital berjalan lancar seperti biasa.

Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Selain itu, tiada perhimpunan atau poster-poster berkaitan mogok ini dikesan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mogok doktor kontrak Malaysia akan tetap diadakan pada bermula 3 hingga 5 April, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette