nazlan manual
Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali

KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook Najib Razak membangkitkan persoalan sama ada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dipilih secara manual dan khusus untuk mengadili kes SRC International Sdn. Bhd.

Beliau juga ingin tahu siapakah ‘tangan ghaib’ yang memilih hakim secara manual serta siapakah tiga hakim yang menolak untuk mengadili kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dan apakah alasan mereka berbuat demikian.

Persoalan itu timbul ekoran maklumat mengenai proses pemilihan hakim yang dikatakan terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Perlu faham bahawa peranan Hakim Nazlan sebagai hakim bicara bagi kes SRC International pada peringkat Mahkamah Tinggi adalah sangat penting.

“Rayuan-rayuan dan semakan seterusnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah berdasarkan penemuan dan alasan yang diberi dalam perbicaraan pada peringkat Mahkamah Tinggi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak turut berkongsi salinan muka surat tiga daripada laporan SPRM kepada Tengku Maimun yang bocor.

Perenggan 3.5 menyebut, “Pada bulan yang sama juga, selepas tiga Hakim Mahkamah Tinggi menolak bagi mendengar kes YBhg Dato’ Sri Najib Razak, YA Dato’ Mohd Nazlan Bin Mohd Ghazali telah dilantik untuk mendengar kes ini. Sebelum ini YA merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dan ini merupakan prosiding kes jenayah pertama yang didengari oleh YA.” – MalaysiaGazette