Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong bergambar bersama kakitangan warga kementerian pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Pastikan tiada kelompongan berlaku agar kerajaan dapat menyediakan pekerja tempatan mahir di sebalik kerancakan pelaburan yang masuk di negara ini terutama dari China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana limpahan ekonomi negara ini perlu diseimbangkan dengan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang berbakat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersedia menyediakan program insentif untuk latihan khas pekerja tempatan agar pasaran tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing pada masa akan datang.

“Saya usulkan pertama, jika ada keupayaan anak tempatan mesti diberikan. Kedua, kalau nampak kekurangan keupayaan di kalangan mereka, mesti ada skim pengkhususan bagi mereka. Ketiga tidak ada juga, kita boleh bawa sementara (pekerja luar ) dan kita akan permudahkan kemasukan mereka iaitu golongan profesional termasuk dari China ini.

“Kita tegaskan syarikat gergasi di China mana syarikat Geely telah bersetuju untuk benar kita membawa masuk beberapa ratus pekerja tempatan ke negara China untuk latihan tambahan.

“Begitu juga CCCE (China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd) akan menjadi Malaysia sebagai ibu pejabat serantau dan ia satu perkembangan baik.

“Kalau tidak pelaburan masuk, semua pekerja asing dan tiada pemindahan teknologi, tidak ada latihan khusus dan ada kesenjangan (jurang) dan kelompongan daripada keupayaan dari tahap profesional tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China sebaik selepas lawatannya di negara kuasa ekonomi dunia itu.

Pencapaian berkenaan diumumkan Anwar di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.

Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast