Izham (kiri) menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan 2023 bernilai RM2, 000 kepada Suhaimi dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kencana, Najib Mat Nor.

KUALA LUMPUR – Jajaran baharu Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Selangor tidak akan melibatkan perumahan di Taman Kencana.

Itu jaminan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim.

“Saya beri jaminan MRT3 di sini tidak akan melibatkan rumah penduduk,” ujarnya semasa majlis berbuka puasa bersama penduduk Taman Kencana di Ampang malam tadi.

Izham (tengah) bersama penduduk selepas majlis berbuka puasa di Surau Nur Iman, Taman Kencana malam tadi.

Sementara itu, jaminan Izham disambut baik oleh penduduk yang sebelum ini menubuhkan jawatankuasa khas bertindak membantah projek mega yang melibatkan taman mereka sejak tahun lepas.

Pengerusi Surau Nur Iman, Suhaimi Mat Arshad berkata, sebagai penduduk yang sejak sekian lama tinggal di Taman Kencana menganggapnya satu berita baik sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami sebagai penduduk rasa gembira dengan jaminan ini kerana bagi kami biarlah kami semua tinggal di sini dan mati sebagai penduduk Taman Kencana,” ujarnya.

Sebelum itu, sejak tahun lepas, penduduk di Taman Kencana membantah cadangan jajaran baharu MRT3 yang dikatakan melibatkan sebahagian besar rumah penduduk.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang, Rafizi Ramli juga menyatakan projek MRT3 akan memberi impak paling minima kepada penduduk termasuk di Taman Kencana.

Pada majlis yang sama, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pandan Indah juga menyerahkan bantuan sempena Ramadan kepada Surau Nur Iman sebanyak RM2,000.

Beliau juga bersedia membantu memudahkan urusan penduduk bagi memohon bantuan pendingin hawa tambahan di surau dan kawasan penyembelihan korban di Taman Kencana. – MalaysiaGazette