KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi gambaran yang silap mengenai sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Menurut beliau, semasa sesi tersebut, hanya ahli Parlimen yang disebut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sahaja yang boleh bertanya soalan.
Wan Saiful berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat juga hanya membenarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal serta satu lagi soalan tambahan daripada pihak lain.
“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya sahaja dari sebelah Perikatan Nasional (PN) boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. Ahli Parlimen lain tak boleh.
“Jadi janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot PMQT ini, Ketua Pembangkang atau Ketua Parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Fahmi dalam hantaran Facebook mempersoalkan mengapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak hadir sesi PMQT dan bertanya soalan.
Fahmi berkata, sesi PMQT merupakan peluang terbaik bagi mereka untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemukan dengan Perdana Menteri.
Wan Saiful turut mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak mengelak daripada memberikan jawapan penuh.
“Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba,” jelasnya.
Beliau menambah, perkara sebenar yang perlu diberi perhatian adalah kualiti jawapan daripada Perdana Menteri.
“Kalau kualiti jawapan Perdana Menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

















Settle kes dulu..