Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Datuk Johari Abdul menggesa supaya anggota Dewan Rakyat menghentikan budaya tuduh menuduh ketika berbahas dengan tidak melemparkan sesuatu yang tidak elok kepada ahli dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menanyakan hukum menuduh seseorang  melakukan perbuatan jelik tanpa dilihat dengan mata kepala sendiri oleh orang yang membuat tuduhan.

“Saya ingin menasihati ahli-ahli yang berhormat khususnya orang Islam…kita tahu apa hukum menuduh orang tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.

“Jadi, saya haraplah yang berhormat orang Islam, dalam ini orang Islam, anak-anak yang menonton TV pun orang Islam.

“Jadi, apa hukumnya kalau kita tidak melihat perkara itu dengan mata kepala kita…janganlah kita ulangi,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada sesi pagi ini.

Beliau memberikan petua berkenaan sebagai respon terhadap pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keputusan Speaker terhadap Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pn-Besut) yang didakwa seringkali menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.

Beliau mendakwa, perkataan tersebut seringkali diulang-ulang di dalam dewan dan ia merupakan satu perkara yang serius.

“Saya ingin mendapatkan pandangan, perkara ini sering disebut oleh Besut…boleh dengar melalui hansard.

“Saya harap ini perlu dijadikan panduan…jangan main-main kerana perkara ini adalah serius kerana ingin mengaibkan ahli Dewan Rakyat ini,” ujarnya.

Sebelum ini Che Mohamad Zulkifly didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kes liwat.

Beliau merujuk perkara itu kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Akibat daripada kenyataannya itu Che Mohamad Zulkifly akhirnya diarah keluar dewan kerana didakwa menghina Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast