Datuk Amarjit Singh

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pelumba wanita negara yang mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri kembali menjalani latihan hari ini.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya telah melantik Nor Alfizar Othman sebagai jurulatih sementara skuad berbasikal bukit (MTB) berkuat kuasa Sabtu lepas (1 April) susulan isu itu bagi memastikan persiapan pasukan ke temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja pada Mei ini berjalan lancar.

“Semua pelumba (termasuk mangsa) sudah kembali ke kem latihan bermula hari ini untuk menjalani latihan di Nilai. Namun, Nor Alfizar hanya pinjaman sementara daripada Majlis Sukan Negeri Kedah dan kembali ke Kedah selepas Sukan SEA tamat.

“Berbaki 27 hari sebelum Sukan SEA bermula, jadi kami prihatin dengan mental, emosi dan fokus pelumba dan paling penting PKBM mahu pastikan atlet berada dalam keadaan selamat. Biar polis jalankan siasatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat antara PKBM dan MSN mengenai kes gangguan seksual atlet berbasikal di MSN, Bukit Jalil hari ini.

Nor Alfiza, 46, merupakan Jurulatih Sukan Berbasikal Negeri Kedah yang memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat pelumba muda meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sehingga mampu meraih pingat emas acara 500 meter ujian masa di New Delhi pada 20 Jun tahun lepas.

Pada 31 Mac lepas, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara bagi acara MTB, dan pihaknya mengambil tindakan serta-merta menggantung jurulatih berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Amarjit Singh bagaimanapun berkata, atlet wanita itu kini berada dalam keadaan stabil selepas insiden itu berlaku dan mempamerkan semangat juang tinggi untuk mewakili negara dalam usaha mengibarkan bendera Malaysia di temasya dwitahunan itu.

“Saya telah bercakap dengan beliau pada Sabtu lepas selama setengah jam melalui panggilan telefon. Emosinya terganggu apabila kejadian ini berlaku dan sudah tentu kami memuji (keberanian) beliau untuk tampil (buat laporan polis).

“Namun selepas panggilan telefon dilakukan, beliau meyakinkan saya dan Naib Presiden II PKBM Mohd Saiful Abdul Jalil, yang beliau sudah 100 peratus bersedia untuk menghadapi situasi (mendapat perhatian media) dan mewakili negara,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden II PKBM, Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, sasaran mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara berganti-ganti rentas desa campuran masih dikekalkan pada edisi Sukan Asia Tenggara edisi ini, namun corak latihan berkemungkinan berbeza sedikit daripada sebelum ini.

Pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei lalu, skuad MTB negara tampil cemerlang menyumbang emas dalam acara rentas desa campuran berpasukan serta turut meraih satu perak dan gangsa dalam acara merentas desa wanita.

Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini. – Bernama