KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim terus menjadi tumpuan peminat bola sepak gara-gara kenyataannya selepas ditemuramah apabila pasukannya dibelasah Johor Darul Ta’zim 0-5 dalam saingan Liga Super 2023, malam tadi.
Ketika ditanya apa kekurangan yang terdapat dalam pasukan Perak selepas tujuh perlawanan JDT, Teong Kim memberikan jawapan seolah-olah menyindir wartawan yang bertanya soalan tersebut.
Jawapan Teong Kim itu jelas tidak digemari oleh peminat di mana rata-rata dari mereka kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh jurulatih yang mempunyai pengalaman luas seperti beliau.
Malah segelintir netizen mendakwa bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu ‘koyak’ selepas dibelasah 0-5.
Terdahulu, JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pemain pertahanan, Hasnul Zaim Zafri tertolak bola ke gawangnya sendiri dalam usahanya untuk memintas hantaran lintang dilakukan Arif Aiman.
Juara sembilan kali itu menambah jaringan kedua ketika permainan memasuki minit ke-25 apabila Leandro Velasquez menyudahkan sepakan penalti meskipun penjaga gol, Bryan See Tian Keat sudah dapat menepis sepakan tersebut.
Kedudukan terus berubah selepas Diogo Luis Santo mudah menolak masuk bola susulan hantaran lintang Fernando Forestieri pada minit ke-45 untuk kedudukan 3-0.
Gol keempat dihasilkan oleh Bergson da Silva berpunca daripada rembatan dalam kawasan penalti yang tidak mampu diselamatkan Bryan See pada minit ke-66 selepas beliau menerima lorongan baik daripada Arif Aiman.
Leandro menutup pesta jaringan di Ipoh itu dengan sepakan percuma yang terus menerjah gawang untuk menjadikan kedudukan 5-0. – MalaysiaGazette