KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyifatkan misi lawatan ke China dengan meraih potensi pelaburan RM170 bilion baru-baru ini telah berjaya.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan itu tidak dicapai tanpa usaha gigih warga MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan KL Invest.
Namun jelas beliau, kerja keras sebenarnya baru bermula kerana cabaran berikutnya bagi semua pihak untuk memastikan potensi pelaburan itu berubah menjadi kenyataan.
“Saya sebenarnya baru sahaja pulang daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China semalam.
“Dengan potensi pelaburan RM170 dan dan RM2.44 bilion potensi eksport, misi ini memang sangat berjaya.
“Namun kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa usaha gigih warga MITI, MATRADE, MIDA dan Invest KL dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat.
“Namun begitu, kerja keras kita sebenarnya baru bermula. Cabaran berikutnya adalah untuk memastikan potensi ini berubah menjadi kenyataan dengan secepat mungkin.
“Tapi saya pasti cabaran ini akan mampu disambut dan diselesaikan oleh warga MITI dan agensinya,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana MITI di Menara MITI di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menambah, Malaysia Madani telah diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kerangka visi baru buat negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.
“Sebagai sebahagian usaha untuk merealisasikan Malaysia Madani ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk mengimarahkan bulan Ramadan di surau Al Rahman MITI.
“Antara aktiviti tersebut adalah tadarus dan khatam Al-Quran, Kuliah Zohor, program memasak dan agihan bubur lambuk seperti tengah hari tadi,” katanya.
Tengku Zafrul turut berharap semoga Ramadan kali ini menjadikan umat Islam sebagai hamba Allah yang lebih bertakwa dan lebih kuat melaksanakan tanggungjawab terhadap agama. – MalaysiaGazette
Berapa banyak kena bayar faedah bunga riba debt trap tak cukup-cukup lagi ke Dasar Ekonomi Apartheid aka DEB/NEP beri migran ekonomi bukan pribumi meraih 70% ekonomi muka tebal politikus Pak Pandir ooii!