Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes samun seorang wanita di Taman Seri Akasia, Kulim, Kedah semalam.

KULIM – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menyamun seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Taman Seri Akasia di sini semalam.

Tangkapan ke atas mereka yang berusia 20 hingga 40-an itu dilakukan di tiga lokasi di sekitar Junjong di sini dan Machang Bubuk, Pulau Pinang antara pukul 4 hingga 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa didatangi penunggang motosikal jenis Honda EX-5 dari arah belakang sebelum menarik beg tangannya kira-kira pukul 8.45 pagi pada Isnin lalu.

Barang milik mangsa yang berjaya dirampas semula dalam milikan suspek.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian akibat kehilangan telefon bimbit, kunci kereta serta pelbagai dokumen pengenalan diri berada dalam beg yang dilarikan suspek.

“Susulan itu, bertindak atas risikan, kita melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki berkenaan sebelum merampas motosikal digunakan suspek serta barang milik mangsa.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Motosikal yang digunakan suspek ketika meragut beg tangan mangsa turut disita dalam serbuan tersebut.

Tambah Mohd Redzuan, ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua tangkapan juga didapati positif dadah jenis methamphetamin

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kulim bagi mendapatkan permohonan reman pagi ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette