Ahli Majlis dan pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan pertemuan dengan penduduk bagi mendapatkan maklumat mengenai kematian 29 ekor anjing di kawasan Island Glades akibat diracun. Gambar - Ihsan MBPP

GEORGE TOWN – International Aid for the Protection and Welfare of Animals (IAPWA) Pulau Pinang menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat berhubung kematian 29 ekor anjing di kawasan perumahan Island Glades, di sini.

Pengurusnya, Choong Koon Yean berkata, kesemua anjing itu dipercayai termakan makanan yang ditabur dengan racun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita beri ganjaran RM5,000 kepada individu yang tampil menyalurkan maklumat tepat berhubung insiden itu bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat atau aduan berhubung tindakan kejam dan penganiayaan terhadap haiwan termasuk anjing atau kucing di seluruh kawasan bahagian pulau negeri ini menerusi saluran aduan rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Saluran rasmi berkenaan ialah Hotline MBPP 04-263 7000 dan menerusi Aplikasi Whatsapp Aduan MBPP di talian 016-200 4082,” katanya dalam kenyataan di Facebook MBPP di sini.

Sementara itu, MBPP dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi pemasangan televisyen kamera litar tertutup (CCTV) agar kejadian sama tidak berulang.

Jelas MBPP, pihaknya memandang serius serta akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan pelaku durjana yang menyebabkan kematian haiwan berkenaan.

“Ahli Majlis MBPP serta pegawai kami sudah turun padang semalam untuk bertemu penduduk sekitar bagi mendapat gambaran sebenar yang berlaku terhadap anjing malang itu.

“Bagi membantu siasatan, MBPP akan beri khidmat sokongan serta kerjasama penuh mengesan dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang sehingga si pelaku berjaya didakwa berpandukan undang-undang,” katanya.

Tambah MBPP, pihak tidak bertanggungjawab boleh didakwa mengikut Akta 772 yang memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan berkaitan antaranya, Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan) dan Seksyen 31 (pemberian racun).

“Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette