MELAKA – Misteri kehilangan Aliah Qistina Budiyanto, 16, dari rumahnya di Taman Maju, Jasin di sini sejak 20 hari lalu membawa berita gembira apabila gadis berkenaan ditemukan selamat di Kampar, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, remaja itu ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 3.30 petang semalam di sebuah pangsapuri rakannya berusia 20-an yang berasal dari Kulim, Kedah.

“Siasatan awal mendapati, pelajar tingkatan empat itu mengaku secara sukarela mengikut rakannya itu dan tinggal bersamanya sejak dilaporkan hilang pada 18 Mac lalu.

“Gadis terbabit turut mengakui tidak dicederakan sepanjang tempoh itu malah remaja lelaki berusia 20-an itu turut membantu polis sebelum gadis terbabit dibawa pulang ke IPD Jasin dan diambil ibu saudaranya semalam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak polis bagaimanapun akan mengadakan siasatan lanjut berhubung kes terbabit jika terdapat unsur kesalahan lain.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengucapkan terima kasih kepada IPD Kampar Perak dan orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat sepanjang kes ini disiasat,” katanya.

MalaysiaGazette pada 27 Mac lalu melaporkan rintihan seorang peniaga nasi lemak, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 41, mengenai kehilangan anak sulungnya itu secara misteri sejak malam 17 Mac lalu.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anaknya itu termasuk menggunakan kaedah pencarian Islam apabila tiga ustaz dan dua ustazah sudi tampil menghulurkan bantuan.

Hampir semua mereka memaklumkan, remaja itu dilarikan seorang lelaki warga Indonesia berkulit gelap berusia awal 20-an yang dikatakan pelanggan tetap Noor Fatimahtul Zaharah yang menjual nasi lemak di hadapan rumah.

Sebelum kehilangan Aliah Qistina pada malam berkenaan, keluarganya terdengar ketukan pintu yang sangat kuat dari arah pintu dapur, namun tiada individu kelihatan sebelum mereka terlena secara tiba-tiba.

Mereka kemudian tersedar terhidu wangian yang sangat pekat dan ketika itu, Alia disedari sudah hilang dari rumah tanpa sebarang petunjuk. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast