Warga Kuantan boleh menggunakan mesin kompos lebihan sisa makanan bernilai RM45,000 yang diletakkan di Padang MBK1, di Kuantan

KUANTAN – Warga Kuantan kini boleh membantu mengumpulkan lebihan sisa makanan untuk menjadi baja organik dengan menggunakan mesin Kompos@Bazar milik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang di Padang MBK 1, Kuantan.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurang 400 kilogram (kg) lebihan sisa makanan akan dikumpulkan sepanjang Ramadan ini bagi menghasilkan 150kg baja.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid

Mesin bernilai RM45,000 itu diletakkan di tepi Padang MBK1, belakang Bazar Ramadan Mahkota Square yang juga berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di sini, diselia oleh empat kakitangan SWCorp.

Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mulai sedar kepentingan amalan kebersihan.

Sehingga 14 Ramadan, sebanyak 70 kilogram lebihan makanan telah dikitar semula.

“SWCorp Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) Negeri Pahang membuat kelainan tahun ini dengan menganjurkan program Kompos@Bazar dan Trash to Cash Infak Ramadan di Bazar Ramadan Mahkota Square.

“Para pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana kaedah pengkomposan dijalankan dan cara penghasilan baja kompos yang terhasil daripada proses tersebut yang mana boleh digunakan sebagai baja tanaman,” katanya ketika ditemui di Padang MBK 1 hari ini.

Jelasnya, mesin kompos ini boleh menampung kapasiti 25 kg makanan dalam satu-satu masa dan ia beroperasi selama 48 jam.

“Baja kompos dapat dihasilkan dalam masa tujuh hari berbanding 14 hari dengan kaedah kompos konvensional.

“Jadi, untuk 25 kg sisa makan, kita akan memperoleh 30 peratus baja kompos iaitu dalam lingkungan dua hingga tiga kg baja. Baja kompos ini akan diberikan kepada kebun komunti yang diusahakan golongan rentan di bandar ini,” katanya.

Objektif utama program ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan kepada para pengunjung yang berbuka puasa di Padang MBK1 mengamalkan amalan kitar semua dengan mengkomposkan sisa-sisa makanan yang tidak habis ke dalam mesin kompos.

Shaharudin berkata, ianya juga merupakan salah satu usaha bagi mengurangkan pembuangan sisa makanan terus ke tong sampah.

Pihaknya bersama MBK bercadang untuk menempatkan mesin ini di lokasi lain yang strategik selepas Ramadan nanti seperti di pasar, medan selera atau kawasan perumahan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast