menteri Israel Malaysia
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab terbaharu askar rejim Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, semalam.

Menurut Kementerian Luar, perilaku pasukan keselamatan negara haram itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu.

“Malaysia menyeru komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk bertegas ke atas Israel.

“Rejim Israel perlu bertanggungjawab susulan perlakuan jenayah keji itu dan mendesak agar semua tahanan Palestin wajar dibebaskan dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Wisma Putra, masyarakat antarabangsa perlu menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan.

Katanya lagi, Malaysia akan teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam.

“Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelasnya.

Semalam, rejim Zionis menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan menyerang jemaah Palestin.

Mereka menyerbu Dewan Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melepaskan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.- MalaysiaGazette