ALOR GAJAH – Mahu mengatasi kesesakan trafik di bandar Melaka pada hujung minggu sehingga menjadi bahan sindiran ‘Melaka darul jammed’ menjadi antara fokus utama mahu diselesaikan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Beliau yang baharu dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, isu berkenaan menjadi cabaran besar buatnya, namun perlu segera diatasi.
“Kita tahu Melaka ni ada orang kata Melaka ‘darul jammed’ sebab bila Sabtu dan Ahad sahaja, orang tempatan pun tak nak ke pusat bandar sebab sesak.
“Ini cabaran besar bagi saya untuk melihat apakah kaedah sesuai untuk atasi kerana kita tahu sebelum ini pun masalah sama tidak dapat diatasi jadi saya kena fikirkan cara lain untuk kurangkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tabung Haji Peringkat DUN Ayer Limau di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Ayer Limau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, isu kesesakan trafik pada hujung minggu juga dipandang serius Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Sebab itu kita juga dah rancang beberapa lalulintas yang akan kita ubah, mungkin pada waktu puncak itu kita tetapkan laluan-laluan tertentu menjadi sehala.
“Tapi untuk jangka masa panjang, mungkin ada kaedah lain seperti membina jejambat dan sebagainya yang mungkin dapat kurangkan kesesakan pada masa hadapan,” katanya.
Hameed merupakan antara tiga muka baharu daripada 10 barisan Exco yang dilantik pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, di sini, semalam. – MalaysiaGazette.