Yahaya Othman memberikan bubur lambuk kepada seorang awam di semasa turun meninjau di Bazaar Ramadhan di Kampung Baru petang tadi.

KUALA LUMPUR – Secara purata lebih satu juta kenderaan dikesan keluar dan masuk ke pusat bandar raya direkodkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, jumlah kenderaan itu pasti akan mengalami peningkatan pada Sabtu ini, 8 April ini sempena sambutan Hari Nuzul Al-Quran.

“Orang ramai mula membanjiri ibu kota untuk membeli belah barang keperluan termasuk persiapan pakaian raya bersempena sambutan 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

“Berikutan itu, jumlah kenderaan di atas jalan raya di pusat bandar raya juga dijangka meningkat khususnya di kawasan tumpuan membeli-belah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengedarkan juadah berbuka puasa kepada para petugas polis di lapangan yang terdiri daripada anggota trafik, Unit Rondaan Bermotosikal, Polis Pelancong serta orang awam di kawasan Bazar Ramadan Kampung Bahru, selain berbuka puasa bersama pegawai dan anggota polis di pekarangan pusat penginapan hadapan Masjid Jamek.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan masing-masing.

Tambahnya, orang ramai yang memasuki pusat bandar raya dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan demi keselesaan semua pengguna jalan raya.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai agar menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas demi mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas selain dari tindakan saman polis juga akan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan,” ujarnya.

Dalam perkara sama, tegas Yahaya, JSPTĀ  akan menempatkan anggota polis di semua kawasan tumpuan terutama di kawasan pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan untuk memastikan kelancaran trafik. – MalaysiaGazette