Chang Lih Kang

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan masih menjalankan rundingan mengenai pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, rundingan yang dijalankan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan perkembangan positif.

“Setakat ini masih dalam proses rundingan tapi ada perkembangan positif melibatkan semua negeri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, senarai calon masih belum dibincangkan dan perbincangan sebelum ini hanya memfokuskan kepada pengagihan kerusi semata-mata.

“Senarai calon belum capai tahap perbincangan, sekarang kita (kerajaan perpaduan) bincang tentang pembahagian kerusi sahaja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar di Selangor, Lih Kang berkata, hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh membuat keputusan.

“Itu (calon Menteri Besar Selangor) kena tanya Presiden, tidak dibincangkan (lagi),” tambah Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Selasa lalu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH sudah hampir selesai.

Malah Salahuddin berkata, ketika ini, PH sedang menunggu kata sepakat antara gabungan itu dan BN. – MalaysiaGazette