Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebarang dakwaan berhubung wujudnya kegiatan jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan exploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

Malah, sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

“Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

“Dalam perkara ini, KKM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jika ada mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti tersebut, mereka boleh tampil ke KKM atau polis untuk menangani perkara tersebut.

Tegasnya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram.

“Dasar KKM jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).

“Malaysia juga menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008) yang menyatakan bahawa organ untuk transplantasi harus diagih secara saksama kepada penerima sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama dan status sosial serta kewangan,” katanya.

Tambah beliau, deklarasi itu juga menekankan komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan.

Katanya, KKM turut menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang berfungsi mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma-penerima yang tidak mempunyai kaitan keluarga atau melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.

“Jawatankuasa ini akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosio-ekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa cakna dan berikrar sebagai penderma organ seterusnya memaklumkan hasrat sebagai pengikrar kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi yang beretika di negara ini. – MalaysiaGazette