Dr. Zaliha Mustafa.-Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Hebahan mengenai Mogok Doktor Malaysia yang telah ditularkan menerusi laman sosial baru-baru ini bersifat ancaman dan provokatif yang mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, rancangan mogok berkenaan gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang dirancang oleh penganjur.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang menolak anjuran untuk menyertai mogok tersebut, sebaliknya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi terus menjadi inspirasi setiap daripada mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Zaliha, mogok tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul sebaliknya isu pegawai perubatan kontrak perlu ditangani menerusi saluran yang tepat.

Tambahnya, etika profesional dalam kalangan pegawai perubatan perlu sentiasa dipelihari dan dipraktikkan.

“Perkara tersebut perlu ditangani secara lebih berhemah dan profesional menerusi platform yang betul,” katanya.

Menerusi hebahan Mogok Doktor Malaysia di media sosial baru-baru ini seramai 8,000 hingga 12,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka bakal menyertainya.

Sementara itu, Zaliha turut mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri dan Hospital, serta
ketua perkhidmatan kerana sentiasa bersiapsiaga berdepan dengan sebarang kemungkinan. – MalaysiaGazette