Seorang lelaki maut apabila motosikalnya yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum tercampak ke laluan bertentangan di Temerloh dekat sini semalam.

KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila motosikalnya yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum tercampak ke laluan bertentangan di Temerloh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Moh Yusoff berkata, mangsa berusia 34 tahun itu maut di lokasi kejadian.

Kejadian pukul 8.30 malam itu melibatkan sebuah kenderaan MPV dan sebuah motosikal di Kilometer 122 , Jalan Kuala Lumpur – Kuantan di Kampung Paya Jauh.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku semasa motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur berhenti untuk memasuki simpang kanan telah dirempuh pada bahagian belakang oleh sebuah MPV.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah tercampak ke laluan bertentangan.

“Semasa cuba bangun, mangsa telah dilanggar pula oleh sebuah kenderaan tidak pasti yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Azhar,  kenderaan tersebut telah meninggalkan lokasi kejadian sebelum pihak polis tiba.

Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampilbagi membantu siasatan atau boleh hubungi pegawai penyiasat trafik Ibupejabat Polis Daerah Temerloh, Inspektor Thuvanesvari di talian 09-271 6086. – MalaysiaGazette