Saiful Lizan (depan) bersama Abd Razak meninjau perairan negara selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) pada 24 Julai ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kata putus tarikh penerimaan itu diperoleh pihaknya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengadakan lawatan mengejut ke lokasi pembinaan Kapal OPV 1 di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah, Selangor baru-baru ini.

Jelas beliau, berdasarkan pembentangan ketika rombangan tersebut pihaknya yakin OPV 1 akan diserahkan kepada APMM pada tarikh yang dijanjikan itu.

Saiful Lizan.

“Setakat ini, kita dimaklumkan OPV 1 akan diterima 24 Julai manakala OPV 2 dan OPV 3 secara berperingkat iaitu hujung tahun ini serta awal tahun depan.

“Kita harap penerima kapal OPV kali ini berjalan lancar kerana ia amat diperlukan oleh pihak kita bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Agensi Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed.

Saiful Lizan (kiri) merasmikan Ops Khas Pagar Laut di Pulau Pinang hari ini.

Mengulas mengenai punca kelewatan penerima kapal OPV, Saiful Lizan berkata, kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara antara faktor menyebabkan kapal tersebut gagal disiapkan dan diserahkan kepada APMM mengikut jadual ditetapkan.

“Antara peralatan utama yang ditempah seperti meriam dari Turkiye dan bot dari United Kingdom,” katanya.

Media Pada 16 Mac lalu melaporkan, Mantan Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil Mat Som melahirkan rasa kesal apabila tiada sebiji pun kapal OPV diterima pihaknya sehingga beliau bersara.

Mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserah pada Mac, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya.

Untuk rekod, OPV berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter yang bakal diterima APMM itu dikatakan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast