Khairul Firdaus Akbar Khan mengacau Bubur Lambuk di Program Iftar@KL di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempertimbangkan cadangan memperluaskan penganjuran program iftar di setiap negeri.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, bagaimanapun pelaksanaan itu bergantung kepada kesediaan rakan strategik untuk bekerjasama menjayakan program itu.

“Kami memang sedia maklum iftar yang dianjurkan MOTAC dan pihak-pihak lain hanya dilakukan di ibu kota sahaja setakat ini dan kita dapat lihat sambutan dan pengisian program ini cukup memberangsangkan sehingga menarik kunjungan ramai daripada luar Kuala Lumpur dan juga pelancong asing setiap tahun.

“Selepas mengambil kira segala aspek ini, kita bersetuju untuk melebarkan program ini di setiap negeri seluruh negara nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Iftar@KL di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Suasana meriah ribuan orang termasuk pelancong asing mula berkumpul dan bersiap untuk berbuka puasa di Program Iftar@KL 2023 anjuran JKKN Kementerian Pelancongan di Dataran Merdeka hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi dan Pengarah Kebudayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Azmi.

Khairul berkata, adalah penting mempunyai rakan startegik bagi mendapatkan penajaan makanan kerana ia melibatkan perbelanjaan yang  besar.

“Bukan senang kalau hendak perluaskan ke seluruh negara, kerana kita sebelum itu kena mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk menganjurkan iftar penglibatan masyarakat seperti meriah di Kuala Lumpur beserta makanan dan juadah berbuka beraneka,” ujarnya. – MalaysiaGazette