ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Beberapa individu termasuk penganjur yang terlibat dalam Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, semalam akan dipanggil untuk membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dianggarkan seramai 40 orang telah berhimpun di hadapan masjid terbabit selepas solat Jumaat untuk menyatakan bantahan serta solidariti terhadap warga Palestin.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah ditempatkan di sekitar pekarangan masjid untuk kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman awal mengenai penganjuran himpunan terbabit daripada penganjur berkenaan.

“Oleh demikian kita telah memulakan siasatan berhubung perlanggaran itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Sebahagian umat Islam membakar bendera Israel sebagai bantahan terhadap kekejaman Israel yang melakukan serangan je atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu lalu pada Himpunan Aman Solidariti Bersama Palestin ketika di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala LumpurFoto MUHD NA’IM, 07 APRIL 2023.

Tambah Noor Dellhan, siasatan masih dilakukan polis dan pihaknya polis akan memanggil penganjur serta beberapa individu berkaitan.

“Penganjur himpunan itu termasuk beberapa individu lain yang menyertainya akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan sebagai membantu siasatan kami.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” ujarnya.

Pada perhimpunan itu, sekumpulan Pemuda UMNO dan orang ramai bertindak membakar bendera Israel sebagai menunjukkan tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang ditekan oleh regim zionis Israel. – MalaysiaGazette