Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap kepada media selepas Majlis berbuka puasa dan solat terawih bersama FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Pasukan kebangsaan B-22 telah diundi dalam kumpulan terbaik untuk dalam memburu pingat emas pada Sukan SEA di Kemboja Mei ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tanggapan orang ramai bahawa Malaysia diundi dalam kumpulan maut adalah tidak benar.

“Dalam Sukan SEA ini, semalam (Khamis) saya dalam mesyuarat bersama Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Sukan SEA, E.Elavarasan dan saya memaklumkan kepadanya bahawa ini adalah the undian terbaik.

“Biar kita bertemu pasukan yang kuat lebih awal supaya kita akan mara ke separuh akhir dan akhir dengan lebih cepat dan mudah kerana kita bertemu Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa FAM 2023 di Arena Futsal Wisma FAM beserta pengagihan bubur lambuk dan sumbangan kepada 40 anak yatim dan pelajar tahfiz.

Dalam undian yang diadakan pada Rabu lalu, menyaksikan skuad Harimau Muda berada  bersama Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos.

Tambah beliau, situasi hampir sama pada Sukan SEA 2011 yang mana Malaysia yang diundi bersama Thailand dan Indonesia mampu meraih pingat emas.

Ia merupakan kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada temasya sukan dwi tahunan itu.

Menurut Hamidin, dalam kejohanan yang menggunakan format karnival, tumpuan perlu diberikan agar para pemain memberikan komitmen tinggi sepanjang kejohanan tersebu.

“Sasaran awal kami tetap tidak berubah iaitu mahu lihat skuad negara masuk ke perlawanan akhir kali ini. Tidak ada kurang,” katanya. – MalaysiaGazette