KUALA LUMPUR – Koperasi kariah masjid seluruh negara perlu memperkasakan peranan masing-masing khususnya dalam membantu kerajaan membasmi kemiskinan masyarakat khususnya di kawasan bandar.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, walaupun bilangan koperasi kariah masjid berdaftar masih kecil namun beliau yakin ia boleh melaksanakan peranan berkenaan.

“Berdasarkan perangkaan gerakan koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, jumlah koperasi kariah masjid di seluruh negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 526 buah atau tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan masjid iaitu 6,837 buah,” katanya ketika menyampaikan ucapan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Golongan Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai semalam.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Efendee O.P Andu dan Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain.

Dalam masa yang sama, Abdul Fattah turut mahu masjid yang masih belum menubuhkan koperasi dapat mengambil inisiatif awal dengan membincangkan usaha tersebut di peringkat jawatankuasa masjid.

Tambahnya, penambahan koperasi kariah masjid serta koperasi komuniti yang lain seperti koperasi pangsapuri membolehkan program pembangunan ekonomi diselaraskan.

Dalam majlis yang sama, seramai 50 orang anak yatim dan sepuluh orang golongan asnaf telah menerima sumbangan duit raya sumbangan ANGKASA melalui ANGKASA Wilayah Persekutuan dan Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).-MalaysiaGazette