Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dipecat daripada UMNO.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketiga-tiganya ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

“Ada tiga dikenakan tindakan pecat, Datuk James Ratib sudah diambil tindakan dipecat, Mohd Arsad dan Jasnih juga dipecat. Shahelmey digantung,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di bangunan UMNO di Kota Kinabalu hari ini.

Ditanya mengenai status ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Bung Moktar memaklumkan, tiada tindakan dikenakan terhadap ADUN berkenaan, menurut beberapa laporan media.

Bung Moktar sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada majlis berbuka puasa Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO Sabah Kota Kinabalu.

Andi Muhammad masih berada di dalam barisan kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Selain itu, ADUN Balung Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.- MalaysiaGazette