Azlan Man

KANGAR – Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu berjumlah lebih RM1.18 juta antara tahun 2013 hingga 2017.

Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan Azlan didakwa telah mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Dia didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut dilakukan beliau.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 sehingga 14 Disember 2017.

Oleh itu, Azlan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Ketika prosiding Ahmad Akram memohon kepada mahkamah agar kes dipindahkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan prosiding memandang Azlan bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Pengecahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selepas ini.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 12 Mei ini. – MalaysiaGazaette

1 Komen

  1. terlambak kehebatan Azlan Man claim RM 1.18 juta tu konon sebab boleh dibuat hak kot macam ELAUN KERAIAN yang seharusnya dibelanjakan tapi digunakan sebagai PUNCA PENDAPATAN keluarga.
    dia ni kawan baik president atau sahabat baik bossku.. mana satu ni?
    Welanon Welanon tetap Welanon patutlah puak-puak ni sokong untuk TIDAK KWSP DIKELUARKAN…. banyak pitih puak-puak ni

Comments are closed.