PUTRAJAYA – Jumlah perkhidmatan bas ekspres menjelang Hari Raya Aidilfitri akan ditambah menjelang minggu akhir Ramadan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pertambahan itu bagi menampung permintaan menjelang perayaan tersebut tidak lama lagi.
“Itu memang biasa beberapa hari sebelum Aidilfitri akan ada penambahan bas. Kita tahu akan ada permintaan yang sangat tinggi,” katanya ketika sidang media hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai jualan tiket bas ekspres bagi kebanyakan negeri dari Lembah Klang sudah habis dijual.
Kebanyakan tiket bertarikh 17 April hingga 21 April dari Lembah Klang, utara mahupun selatan kehabisan sejak hari pertama Ramadan lagi.
Loke menambah, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menyaksikan peningkatan permohonan lesen sementara sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, Kemeneterian Pengangkutan pula terbuka untuk menambah perjalanan bas penumpang menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. – MalaysiaGazette