KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa orang ramai agar menghubungi talian 997 jika berdepan penipuan scammer.
Beliau berkata, tujuan nombor talian itu untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Jika mereka menghubungi talian ini, dalam masa empat atau lima jam, penipuan ini akan dapat disekat. Jadilah masyarakat yang peka terhadap apa yang berlaku,” katanya pada majlis apresiasi bersama pengamal media di sebuah hotel hari ini.
Pada masa sama, Fahmi mengakui dirinya juga hampir menjadi mangsa scammer awal pagi hari ini.
“Selepas Subuh pagi tadi, saya ada menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Gambar profil dan namanya adalah menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Mesej itu tertera ‘Assalamalaikum’. Pelik sungguh ejaan itu, saya terus hubungi Nancy untuk mengesahkan ternyata itu adalah scammer kerana nombor telefon itu juga bukan milik Nancy,” katanya.
Menurut Fahmi, masyarakat seharusnya membuat perngesahan terlebih dahulu jika mendapat mesej daripada kenalan.
“Jangan terus jawab dan berkomunikasi. Saya pasti, perkara sama pasti dilalui oleh orang lain dan berharap ia tidak sampai ditipu.
“Masyarakat perlu bertindak dengan menghubungi talian 997. Jangan sampai ditipu scammer, bertindaklah awal,” ujarnya.
Talian 997 diperkenalkan oleh Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).
Ia diketuai Bank Negara Malaysia dan dianggotai Polis Diraja Malaysia selain beberapa agensi lain. – MalaysiaGazette