KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mampu memberi dua kali kenaikan tangga gaji kepada penjawat awam sepanjang tempoh sembilan tahun beliau menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, langkah itu telah menjadikan jurang gaji antara penjawat awam dan pekerja swasta semakin rapat.
Menurut beliau, di bawah pentadbiran Najib, hasil kerajaan bertambah serta ekonomi negara berkembang pesat.
“Ini membolehkan kerajaan menurunkan defisit, nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta kebergantungan kepada hasil minyak bagi lapan tahun berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Kadar kenaikan nilai aset bersih Kumpulan Wang Pencen (KWAP) yang mantap ketika Najib jadi kerajaan iaitu kenaikan hampir tiga kali ganda dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri juga memberi keyakinan bahawa pencen penjawat awam akan terjaga pada masa depan dan ini membolehkan kerajaan memberi kenaikan tangga gaji ketika itu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara berkaitan skim gaji itu tidak mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sian See memberitahu, semua hasil yang dicapai semasa era Najib menjadi ‘habuk’ selepas PRU14.
Beliau menambah, defisit kerajaan, hutang kerajaan, kadar kebergantungan kepada hasil minyak naik mendadak selepas PRU14 manakala pertumbuhan ekonomi negara juga lembab.
“Kadar kenaikan nilai aset KWAP juga lembab dengan kenaikan cuma 25 peratus dalam tempoh lima tahun selepas PRU14.
“Akibatnya, ia amat sukar bagi kerajaan hari ini untuk memberi sebarang kenaikan tangga gaji serta gaji kepada penjawat awam lagi,” jelasnya.
Sian See mengakui bahawa langkah memberi kenaikan tangga gaji kepada penjawat awam bukan mudah bagi sebuah kerajaan yang bertanggung jawab memandangkan bilangan mereka adalah besar.
“Sebab kerajaan perlu mengambil kira kos belanjawan serta defisit kerajaan setiap tahun serta kesan pada bayaran pencen pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette