GUA MUSANG – Seramai 15 pelajar sekolah mengalami kecederaan apabila van sekolah yang dinaiki mereka terbalik akibat dirempuh dan diseret sejauh 19 meter oleh sebuah treler balak dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata akibat daripada kemalangan itu tiga murid perempuan berusia tujuh hingga 10 tahun mengalami cedera parah manakala selebihnya cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami patah tulang selangka sebelah kanan, manakala kanak-kanak berumur lapan tahun mengalami kecederaan darah beku di dahi dan kanak-kanak berumur 10 tahun pula terkehel tulang paha kanan.

“Kemalangan terbabit dipercayai berpunca daripada sebuah kereta jenis Kia Spectra dengan cuai keluar simpang untuk membelok ke kanan sebelum dilanggar oleh sebuah treler muatan balak datang dari arah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat daripada pelanggaran tersebut pemandu treler balak tidak dapat mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan Perodua Myvi sebelum merempuh van Nissan Urban yang membawa pelajar sekolah terbabit sehingga terbalik.

Susulan itu, van tersebut yang dinaiki pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun, turut merempuh sebuah kereta Honda Civic yang berada di belakangnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya,” katanya.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Pemeriksaan yg kerap oleh pihak berkuasa seharusnya dipertingkatkan bagi memastikan setiap pemandu mempunyai lesen memandu yg sah dan tidak tamat tempoh.

Comments are closed.