KUALA LUMPUR – Semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negara ini dinasihatkan sentiasa memantau kod QR masing-masing agar tidak berlaku penyalahgunaan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, peringatan itu diberikan berikutan ada kes seorang lelaki didakwa menyalahgunakan kod itu untuk mendapatkan sumbangan derma orang ramai.
Katanya, menerusi penggunaan kod QR itu, orang ramai yang menderma menyangkakan untuk keperluan masjid atau surau, tetapi sebaliknya.
“Kita mengambil perhatian terhadap isu video tular yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyalahgunakan kod QR sumbangan derma masjid atau surau.
“Sekiranya perbuatan ini benar seperti didakwa, ia amatlah tidak wajar kerana mengambil kesempatan terhadap sikap murah hati umat Islam khususnya di masjid atau surau sempena bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berharap semua pihak terutama ahli jawatankuasa masjid dan surau memantau kod QR masing-masing agar sumbangan atau infaq tidak terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Orang ramai juga disaran membuat semakan dengan teliti sebelum menyumbang melalui kod QR bagi mengelak perkara tidak diingini.
“Sekiranya merasa curiga dan ragu-ragu dengan kod QR di masjid atau surau, orang ramai disaran membuat aduan kepada pihak masjid dan surau untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette